KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 31, 2011

Demontrasi besar-besaran Jumaat 4 Februari: Berkumpul di KLCC dan Masjid KLCC menuju Kedutaan Mesir



Ummat Islam dan seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini diseru berhimpun secara aman ke Kedutaan Mesir Jumaat, 4 Februari ini bermula dari Masjid KLCC dan sekitar Bangunan KLCC menuju kedutaan di No. 12, Jalan Rhu off Jalan Ampang Hilir.

Demikian tegas Pengerusi JK Mobilisasi dan Demokrasi PAS Pusat, Mohd Sabu kepada pihak media sebaik usai memasukkan memorandum kepada Kedutaan Mesir ke dalam peti surat pintu pagar kedutaan tersebut. Wakil duta enggan menerima dan berbincang mengenai kandungan memorandum yang dikemukakan oleh kumpulan solidariti NGO dan Pakatan Rakyat kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Mohd Sabu berkata, barangkali duta (Mesir) enggan menerima memorandum mereka kerana melihat demontrasi itu kecil maka pada 4 Februari ini, pihaknya akan menggerakkan rakyat untuk berhimpun di hadapan kedutaan ini secara besar-besaran.

"Harap pihak media sebarkan. Kita akan adakan himpuna n besar Jumaat ini. Mula dari KLCC menuju ke sini. Kita mesti bersama-sama rakyat Mesir yang mahukan perubahan dan menolak kempinan regim Hosni Mubarak sekarang," tegasnya.

Pagi tadi, lebih 100 orang kumpulan solidariti NGO dan Pakatan Rakyat yang diketuai Mohd Sabu berkumpul dan menyatakan bantahan di hadapan Kedutaan Mesir di Ampang. Mereka menaikkan sepanduk "Down Mesir" dengan meletakkan lambang Isreal pada dahi gambar Hosni Mubarak. 

Presiden PAS ucap setinggi tahniah kepada Cikgu Mala dan para petugas Pakatan Rakyat seluruh negara



PAS menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen,  Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan, kata Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada media.

"Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan. Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan," ujarnya.

katanya, PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru  menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini. Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini. 

"Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia," tegas beliau.

Ustaz Abdul Hadi berkata, untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan UMNO-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata. 

Oleh yang demikian, tegas beliau, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan. Kita senatiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem demokrasi yang adil dan tulen.

PRK Merlimau: PAS dijangka serah kerusi Dun Merlimau kepada KeADILan



Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan mengenai sama ada akan meletakkan calon PAS atau PKR dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau 6 Mac ini. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan dalam pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah rakyat di Shah Alam hari ini berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.

Ketika ditanya sama ada PAS telah mempunyai bayang-bayang siapakah bakal dicalonkan di Merlimau, Abdul Hadi berkata: "Merlimau, kita ada orang bukan bayang-bayang, kita ada ramai situ." Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac. Dalam pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Jentera BN hambat pengundi di tiga Kawasan Felda, pengundi Cina dan India "diabaikan"!




Betullah kata sahabat, Umno/BN akan mencipta taktik dan strategi baru setiap kali pilihan raya yang kurang diperhatikan atau gagal dipintas strategis atau think-tank Pakatan Rakyat. Dalam PRK Dun Tenang semalam, strategi BN ialah `memaksa' pengundi Melayu (yang mereka tahu pengundi tegar mereka) di tiga kawasan Felda dan kampung tradisi keluar mengundi. Sementara pengundi Cina dan India `diabaikan'.

Hasilnya, calon BN Mohd Azahar Ibrahim menang di PRK Tenang dengan majoriti 3,707 undi. Azahar memperolehi 6,699 undi, berbanding calon PAS Normala Sudirman yang mendapat 2,992 undi.

Namun BN tidak boleh mendabik dada kerana peratusan keluar mengundi hanya 66.7 peratus. Paling memeranjatkan, jumlah pengundi Cina jatuh mendadak kepada 18 peratus manakala India jatuh 23 peratus.  Peratusan mengundi Orang Melayu pula naik melambung kepada 83.3 peratus.

Ini bermakna, BN berjaya menambah majoriti dengan strategi baru iaitu mengerahkan undi Melayu dan dalam masa yang sama mengabaikan pengundi bukan Melayu. Sebab pemikir mereka sudah dapat mengesan pola mengundi berdasarkan pola kaum di Dun Tenang!

Terima kekalahan dalam pilihanraya kecil di N 05 Tenang dengan tenang dan hati terbuka. Perbaiki kelemahan, pertingkat gerakkerja dan perbetul kesilapan untuk depani pilihanraya umum akan datang. Pemuda teruskan gerakkerja anda untuk memburu kemenangan buat perjuangan ini tanpa jemu. Tahniah atas kesungguhan petugas PR... dan syabas atas kemenangan BN dgn harapan tanggungjawab ditunai dgn penuh amanah.

Umno masih kecut perut di Tenang: Trend pengundian sama 2008, jika semua keluar mengundi belum tentu BN menang!




Keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Tenang semalam tidak begitu memperlihatkan perubahan yang ketara kepada trend pengundian di DUN Tenang berbanding Pilihanraya Umum (2008) yang lalu. BN atau UMNO hanya mampu menambah 332 undi sahaja. Manakala calon PAS kekurangan 883 undi yang hampir 65% jumlah kekurangan ini disebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi kerana hujan lebat dan banjir. 

Sekiranya berdasarkan kepada angka peratusan secara rambang ini, majoriti yang diperolehi oleh UMNO hanya bertambah sedikit sekitar 2700 hingga 2900.  Pertambahan seumpama ini dalam sesebuah PRK bagi BN yang mengerahkan seluruh jentera kerajaan, bolehlah dikatakan tidak begitu membanggakan.

Berdasarkan kepada analisis terhadap jumlah undi yang diperolehi oleh calon dari setiap peti undi, jelas membuktikan trend seperti ini. Faktor kekalahan utama calon PAS ialah golongan atas pagar terutama pengundi Cina tidak dapat keluar mengundi. Peti undi yang paling ketara menunjukkan fenomena ini ialah Bandar Labis Timur. Di peti undi ini calon PAS hanya memperolehi 144 undi daripada 740 undi yang diperolehi pada PRU 2008, iaitu kurang 600 undi. Kekurangan 600 undi ini disebabkan mereka yang menyokong PAS dahulu tidak keluar mengundi bukannya beralih kepada UMNO. Pertambahan undi UMNO di peti undi ini hanya 2 undi iaitu dari 669 semasa PRU 2008 kepada 671 dalam PRK semalam.

Sekiranya 600 undi itu diterjemahkan sebagai mengundi PAS sebagaimana persepsi pengundi Cina yang dilihat tidak jauh berubah, bermakna calon PAS berkemungkinan mendapat tambahan undi sekitar 3500 dan majoriti kemenangan BN berdasarkan peti undi ini sahaja boleh berkurangan sehingga 3000 sahaja. 

Demikian juga kawasan-kawasan peti undi yang PAS menanginya semasa PRU 2008 yang lalu, jumlah yang keluar mengundi jauh berkurangan sehingga menyebabkan PAS memperolehi kekurangan undi tersebut. Sebagai contoh di Bandar Labis Tengah PAS kekurangan 212 undi dan peti undi Labis PAS kekurangan 202. Kekurangan ini disebabkan mereka tidak dapat keluar mengundi.

Manakala kawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO seperti Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat, situasi sebaliknya berlaku. Di peti undi Felda Tenang jumlah pengundi yang keluar mengundi bertambah 30 orang, di Felda Chemplak Barat juga bertambah seramai 30 orang, manakala di Felda Chemplak berkurangan sedikit hanya kepada 22 orang. Berdasarkan angka-angka tersebut, boleh dikatakan keadaan hujan lebat dan banjir yang berlaku di DUN Tenang ini tidak langsung menjejaskan kawasan kubu UMNO dari segi peratus pengundi keluar mengundi sekiranya dibandingkan dengan PRU 2008.

Secara keseluruhan, melihat kepada pencapaian UMNO di setiap peti-peti UMNO, tidak kelihatan UMNO membuat peratusan penambahan secara berlipat ganda melainkan undi pos. Di kubu-kubu kuat UMNO sendiri pertambahannya sangat sedikit, seperti di Felda Chemplak, undi UMNO bertambah 49 undi, di Felda Chemplak Barat bertambah hanya 64 undi dan di Felda Tenang bertambah 90 undi. 

Pertambahan undi UMNO di kawasan-kawasan kampung tradisi Melayu juga dalam lingkungan bawah 100 undi. Malah di peti undi Sawah Bahru UMNO kekurangan undi 6 undi berbanding PRU 2008, sedangkan di peti undi yang sama PAS menambah 3 undi.

Berdasarkan analisis terhadap peti-peti undi itu, dapat disimpulkan mementum PRU 2008 masih kekal. Peningkatan majoriti kemenangan UMNO banyak dibantu oleh para pengundi atas pagar dan penyokong PR pada PRU 2008 yang lalu tidak dapat keluar mengundi disebabkan hujan lebat dan banjir. 

Oleh sebab itu, sekiranya peratusan pengundi keluar mengundi kekal seperti PRU 2008 atau lebih sedikit, majority yang diperolehi oleh BN atau UMNO seperti pada PRU 2008 akan kekal atau mungkin semakin berkurangan. Diyakini PAS sangat menyedari perkara ini, justeru para pimpinan kanan PAS menuntut supaya PRK semalam ditangguh disebabkan factor cuaca.

Strategi UMNO yang paling berjaya dalam PRK semalam ialah membuat bantuan kepada mangsa hujan lebat dan banjir secara terpilih. Sebagai yang dijelaskan oleh Zulkifli Sulong, Editor Harakahdaily, bantuan secara besar-besaran telah diberikan untuk mengerahkan pengundi kawasan kubu kuat UMNO keluar mengundi seperti di Felda Tenang, Felda Chemplak dan Felda Chemplak Barat. 

Kawasan-kawasan yang lain seperti ‘didiskriminasi’ sehingga peratusannya menurun mendadaj. Dengan perkataan lain UMNO menggunakan strategi bantuan terpilih ini untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi di kubu kuatnya dan mengurangkan peratusan keluar mengundi di kubu kuat PR.

Gegarkan Parlimen PJS bersama Anwar Ibrahim, Khalid Samad, Nurul Izzah, Tian Chua dan Gobind Singh Deo



Pakatan Rakyat PJS akan menganjurkan ceramah dan mengempur Parlimen tersebut dengan tema "Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia" pada 1hbh Febuari 2011, jam  9.00 malam di Dewan Taman Sri Manja, Jalan PJS3/40, Taman Medan. Orangramai dipelawa hadir. Bawa anak isteri, jiran tetangga dan rakan taulan di kalangan penyokonhg Umno-Bn ke majlis ini.

Penceramah terdiri daripada Ketua Umum PKR, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Shah Alam (PAS)YB Khalid Samad; Ahli Parlimen Puchong (DAP) YB Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, YB Tian Chua; Adun Taman Medan, YB Haniza Talha dan Adun Sri Setia, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pelbagai isu akan dibangkitkan termasuklah kekalahan PAS di Tenang; kenaikan harga barangan; kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir; penggantungan Anwar dari Dewan Rakyat; Apco dan 1Malaysia; Jani 100 Hari Pakatan rakyat dan banyak lagi.

Duta Kerajaan Mesir enggan terima memorandum daripada solidariti NGO dan Pakatan Rakyat yang diketuai Mohd Sabu




Wakil Kedutaan Mesir enggan membenarkan sekumpulan wakil NGO dan parti pembangkang menyerahkan memorandum kepada kedutaan negara itu. Pagar dikunci dan tiada rundingan dilakukan. Mohad Sabu, Dr. Nasir Hashim, Arul, Tian Chua menunggu sehingga jam 12 tengahari, tyetapi wakil duta enggan menerima memorandum berkenaan.

Akhirnya, memorandum itu dimasukkan secara beramai-ramai oleh wakil-wakil yang hadir ke peti surat pintu pagar kedutaan tersebut. Satu sidang media diadakan sebaik memeorandum itu dimasukkan ke dalam peti surat. Arul membacakan kandungan memorandum dan diikuti ucapan Dr. Syed Azman dan Mohd Sabu. Bacaan doa oleh Ustaz Nasruddin Hassan mengakhiri demontarsi aman di hadapan kedutaan Mesir itu. 

Kira-kira jam 11 pagi tadi, sekumpulan NGO dan parti pembangkang berarak ke Kedutaan Mesir di Jalan Amnpang Hilir, mengadakan bantahan bagi menunjukkan kebersamaan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dalam menuntut regim Hosni Mubarak turun dari tampuk kuasa.

Mereka berarak daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ, sambil melaungkan slogan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpin Mesir dengan lambang Zionis di dahi. Terdiri dari anak-anak muda dan beberapa wanita. 

Kumpulan yang diketuai Mohamad Sabu daripada PAS itu, berunding dengan kira-kira 50 anggota polis dan FRU - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - bagi menghalang kumpulan berkenaan masuk untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.

Sehingga jam 11.30 pagi, jumlah penunjuk perasaan bertambah. Antyara pemimpin utama yang hadir, AJK PAS Pusat, Mohd Sabu; Presiden PRM, Dr. Nasir Hashim; Setiausaha PSM, Arul; AJK PAS Pusat, Syed Azman Syed Nawawi; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; Adun Kubang Rotan, Kedah, Nasir Mustafa; Wakil Jerit, E, Nalini; Presiden JIM, Zaid Kamaruddin; Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Pemuda PAs Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan; Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Noor; Adun Lundang, Ustaz Baihaqi Atiqullah; MP Balik Pulau, Yusmadi dan ramai lagi.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak. Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak. Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.

Demontrasi aman Pakatan Rakyat di hadapan Kedutaan Mesir, Isnin 31 Januari 11 pagi



Isnin, bersamaan 31 Januari 2011, satu demontrasi aman akan diadakan di hadapan Kedutaan Mesir sebagai tanda membantah dan solidariti bersama rakyat Mesir yang ketika ini sedang bangkit menurunkan regim Hosni Mubarak di negara tersebut.

Dalam satu SMS Pengerusi Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi, Mohamad Sabu kepada saya selaku Setiausaha JK Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, jam 3.46 petang semalam, memberitahu demontrasi aman itu dilangsungkan jam 11 pagi di Kedutaan Mesir beralamat No. 12, Jalan Rhu off Jalan Ampang Hilir.

Ia akan diketuai sendiri Sdra. Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuklah Arul, Setiausaha Agung PSM dan badan-badan bukan kerajaan. Orang ramai dijemput hadir bagi menyatakan sokongan pada kepada rakyat Mesir yang inginkan perubahan.

PAS akan subur di sini: Kesepaduan Pakatan Rakyat sudah dibuktikan di Dun Tenang