KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Krisis Dun Perak: Sidang Dun, dari bawah pokok ke hotel!



SEBAIK Rampasan kuasa berlaku di Perak, negeri itu tidak sunyi dari insiden-insiden yang menggoncang pemikiran rakyat untuk melihat sejauh mana demokrasi diamalkan di negara ini.

Semuanya bermula gara-gara tindakan 'lompat' parti yang dilakukan oleh dua bekas Adun KeADILan, dan seorang Adun DAP serta seorang Adun BN yang masuk KeADILan, kemudiannya keluar semula.

Paling mencuit hati, dan tidak pernah berlaku sebelum ini apabila sidang Dun terpaksa diadakan di bawah pokok 16 meter jaraknya daripada Bangunan Perak Darul Ridhwan (SUK) yang menempatkan Dun Perak.

Sidang Dun tersebut dipengerusikan Speaker Dun Pakatan Rakyat Perak, S.Sivakumar. Ia menjadi sejarah, namun seperti kata pakar Undang-undang Perlembagaan dari UIAM, Prof Abdul Aziz Bari, sidang 'bawah pokok' tetap sah.

Namun, pada 2 September lalu, satu lagi insiden berlaku dalam siri polemik politik di Perak dengan sidang Dun yang cuba dilakukan oleh Adun Pakatan Rakyat Perak dihalang polis dengan kasar sehingga tiga Adun ditahan dan empat orang awam menerima nasib yang sama.

Sejarah tertulis kembali, akibat halangan polis itu, Sidang Dun Perak terpaksa diadakah di Hotel Heritage yang mana semua Adun Pakatan Rakyat telah memulakan Sidang Dun di Bilik Ballroom, Hotel Heritage pada jam 11.30 pagi.

Dalam sidang yang diadakan di Hotel Heritage, nama-nama mereka yang telah 'dipecat' atau telah 'meletak jawatan' seperti Menteri Besar BN, Dato' Seri Zambry Abd Kadir dan tiga Adun yang mengisytiharkan diri sebagai calon bebas, tidak diletak pada meja di situ.

Mengikut susunan yang telah diatur, Adun Pakatan duduk di sebelah kanan Speaker V Sivakumar (tempat Adun parti pemerintah duduk). Empat lagi Adun Pakatan tidak kelihatan kerana tiga ditangkap sebelum sidang dan seorang lagi (Drs Khalil Idham Lim Abdullah) sedang mengerjakan umrah.

Dalam sidang tersebut dua usul diluluskan dan sidang itu sedang membahaskan usul ketiga. Usul pertama diluluskan sebulat suara yang mengesahkan laporan jawatankuasa hak dan kebebasan Dun berhubung kedudukan Speaker BN Dato' R Ganesan, yang bukan seorang Adun masuk ke dewan Dun tanpa kebenaran speaker dan enggan keluar sewaktu sidang 7 Mei lalu, apabila diperintah berbuat demikian oleh speaker (Sivakumar).

Ketetapan yang seterusnya, bekas Timbalan Speaker, Hee Yit Fong, yang telah bertindak keluar DAP dan didakwa bertindak sebagai speaker, dan mempengerusikan sidang Ddun pada 7 Mei dan menjalankan pengundian yang memilih Ganesan sebagai speaker adalah tidak sah.

Sebaik habis pembentangan usul tersebut, sidang diteruskan dengan usul lain antaranya membentang dan meluluskan usul untuk melantik jawatankuasa baru iaitu Jawatankuasa Kira-kira Kewangan Negeri dan Hak Kebebasan dan satu lagi iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap.

Sementara satu usul tergempar telah dibuat dalam sidang tersebut yang mengecam sekeras-kerasnya atas tindakan ganas badan itu mengkasari wakil rakyat dan orang awam semasa mahu memasuki Bangunan SUK bagi mengadakan Sidang Dun.

Tiada ulasan: