KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Kemelut politik Umno Terengganu makin memeningkan Najib


NAMA Dato' Din Adam sebenarnya bukan nama besar di Terengganu. Dalam Umno, Din dikenali kerana dia pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri dan memegang fotfolio Belia dan Sukan, ketika Dato' Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

Tahun lalu, dia tewas dalam usahanya merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Dungun dari penyandang, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Hari ini, Din yang merupakan ADUN Bukit Besi menjadi popular seketika, kerana dia dikatakan antara orang yang terkehadapan bersama-sama rakannya Dato' Rosol Wahid, yang juga ADUN Ajil, Hulu Terengganu, kerap bercakap isu kemelut politik Umno Terengganu.

Kedua-duanya bekas Exco. Keduanya tewas di peringkat bahagian. Cuma, Din tewas jawatan ketua, manakala Rosol tewas jawatan timbalan.

Mereka berdua dikenali sebagai anggota Kumpulan 10, iaitu 10 ADUN Terengganu yang pernah memboikot persidangan DUN. Atas perintah Perdana Menteri, akhirnya kesemua 10 ADUN ini hadir ke persidangan hari kedua, April lalu.

Baru-baru ini, mereka juga dikatakan turut hadir ke persidangan DUN tetapi ‘menjahit mulut’ dari berkata-kata kerana mahu memberitahu dunia, bahawa mereka masih tidak bersetuju dengan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said.

Ahad lalu, sebuah akhbar arus perdana melaporkan, Din melahirkan rasa terkilannya kerana Menteri Besar tidak pernah ajak ADUN yang menentangnya, bermesyuarat. Menurut laporan akhbar itu, jawatan Din di Terengganu sekarang ialah Timbalan Pengerusi Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) negeri.

Dalam kemelut politik Umno di Terengganu, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dilihat ‘menyebelahi’ kumpulan 10 ADUN yang menentang Ahmad Said. Itulah sebabnya, Din membidas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato' Seri Hishammuddin Hussein sebagai penyebabkan kepada kemelut menjadi semakin parah.

Kerana apa? Din barangkali hairan mengapa Dato' Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin boleh mendengar cakap Kumpulan 10 ADUN penentang tetapi Hishammuddin tidak mahu mendengar dan memenuhi tuntutan mereka.

Apa yang Kumpulan 10 ADUN seronok sangat dengan Najib dan Muhyiddin? Khabarnya, apabila Kumpulan 10 ADUN mengadu kepada Najib dan Muhyiddin yang Ahmad Said tidak berguna kepada Umno dan kerajaan negeri Terengganu, Najib dan Muhyiddin tidak melantik semula Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Malangnya, hujah serupa digunakan untuk menjatuhkan Ahmad Said dan kawan-kawannya yang menduduki jawatan penting dalam Umno negeri, Din hairan mengapa Hishammuddin tidak melantik Din sebagai Setiausaha tetapi melantik Dato' Tengku Putera Tengku Awang menggantikan Dr. Rosli.

Mungkin Din beranggapan, jika Najib dengar cakap Kumpulan 10 ADUN, dengan tidak mengekalkan Ahmad Said sebagai pengerusi, kenapa pula Hishammuddin tidak melantik setiausaha perhubungan dari kumpulan yang menentang Ahmad Said.

Kata Din, “kita hormat perlantikan Hishammuddin, tetapi kecewa kerana banyak masalah yang kita luahkan pada program khas di Kementerian Dalam Negeri bukan sahaja tidak diselesaikan, malah beliau lantik semula ketua bahagian yang dipecat, Tengku Putera Tengku Awang sebagai setiausaha Umno negeri.”

Dari kata-kata Din ini membuktikan bahawa mereka dari Kumpulan 10 ADUN penentang Dato' Ahmad Said mahu Hishammuddin mendengar dan akur dengan kehendak mereka. Jika Hishammuddin tidak melantik orang mereka, iaitu dari Kumpulan 10 ADUN penentang, maknanya Hishammuddin pun tidak betul sama seperti Ahmad Said.

Umno Pusat tidak mempunyai cukup keberanian untuk mengambil tindakan kepada Kumpulan 10 ADUN ini. Itulah sebabnya mereka boleh mengertak Najib dan Muhyiddin, selain menyerang Hishammuddin. Bagi mereka, bukan sahaja jawatan dalam Umno mesti diserahkan kepada kumpulan mereka, malahan, jawatan Menteri Besar pun mesti diserahkan kepada mereka.

Setakat ini mereka sudah membayangkan, jika tidak mahu Dato' Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar kembali, nama Rosol dan Din adalah keutamaan. Walaupun Rosol sudah menafikan dia kepingin mahu menjadi Menteri Besar tetapi Din belum membuat apa-apa kenyataan.

Menurut cerita Ahmad Said, Din pernah menolak perlawaan menjadi Exco di bawah kepimpinannya kerana dipercayai Din membayangkan, daripada Ahmad menjadi Menteri Besar, lebih baik dia. Setakat ini tiada siapa dapat memberitahu kelulusan pengajian Din, tetapi dari sumber beberapa orang di Bukit Besi memberitahu, Din adalah seorang siswazah dari sebuah universiti di China.

Secara lantang, Din mencerca Ahmad kerana tidak pernah memanggil Kumpulan ADUN yang dilabel sebagai penentang kepimpinannya untuk bermesyuarat atau berbincang sebelum membuat sebarang keputusan sejak mengetuai negeri, Mac tahun lalu.

Dalam perkembangan serupa, Din tidak pula menceritakan bagaimana mereka semuanya merancang untuk memboikot persidangan DUN hingga timbul cerita penghantaran sms bernada ugutan dengan tujuan mahu memfitnah seorang pegawai di pejabat Menteri Besar melakukannya.

Mereka yang menganggotai kumpulan penentang ini tidak pula mahu mendedahkan yang mereka bukan sahaja tidak akan memberi kerjasama dan sokongan dengan program-program yang disertai Menteri Besar walaupun di kawasan DUN mereka sendiri, malahan, beberapa portal berita melaporkan bahawa kedatangan Muhyiddin di Kuala Berang minggu lalu juga ‘tidak mendapat’ sambutan dari kumpulan ADUN penentang.

Sikap beginikah yang mahu dibanggakan oleh Din dan kawan-kawannya dalam Kumpulan 10 ADUN penentang Menteri Besar? Menteri Besar mereka boikot, Timbalan Perdana Menteri mereka tidak hiraukan, jadi dengan siapa lagi yang mereka hormat?

Kata orang Terengganu yang menyukai Ahmad Said, Kumpulan 10 ADUN penentang ini hanya menghormati dan takut yag terlalu sangat kepada bekas Menteri Besar, Idris Jusoh.

Sejauh mana kebenaran cerita itu, tiada siapa yang dapat mengesahkan tetapi kumpulan 10 ADUN ini masih berkeyakinan bahawa mereka boleh meneruskan ‘geromal’ mereka kepada Najib dan Muhyiddin, walaupun mereka tidak pernah menghormati Muhyiddin.

Seorang tukang kayu yang berminat politik di Ajil memberitahu, punca mereka ini tidak menghormati Muhyiddin ialah kerana Muhyiddin pernah membuat pengumuman bahawa Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar dan tidak ada apa-apa perubahan setakat ini, Mei lalu ketika Muhyiddin ke Terenganu kerana sambutan hari guru.

Bukan main melenting Kumpulan 10 ADUN ini. Mereka hairan bagaimana Muhyiddin boleh mendahului Hishammuddin yang sudah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Najib, selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Bila timbul cerita ada sembilan ADUN membuat pertemuan dengan Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Kemaman, Najib menampakkan kerisauannya. Beliau mengulas situasi politik Terengganu dengan kata-kata kesediaannya untuk mententeramkan krisis dalam masa terdekat.

Ketika Muhyiddin menawarkan diri membantu Hishammuddin untuk menyelesaikan masalah politik Terengganu, banyak pihak melihat perkembangan itu sebagai kurang bijaksana. Ini kerana ia seolah-olah Muhyiddin tidak yakin akan kebolehan Hishammuddin dan kemungkinan juga Muhyiddin mendapat maklumat dari Kumpulan 10 ADUN bahawa mereka tidak menyenangi Hishammuddin.

Kenapa tidak Muhyiddin meminta kepada Najib supaya Najib melantiknya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan kepada Hishammuddin?

Kalaulah Najib, Muhyiddin dan Hishammuddin tidak mampu menyelesaikan kemelut politik Terengganu, bagaimanakah mereka mahu menyelesaikan kemelut politik Malaysia? Kalau tingkah laku 10 ADUN penentang Ahmad Said tidak mampu dikenakan tindakan, apakah yang diharapkan kepada Najib dan Muhyiddin untuk berdepan dengan kemelut politik MCA, MIC dan PPP?

Kumpulan 10 ADUN meminta mereka dilantik menjadi penyelaras DUN. Jawatan ini adalah senjata untuk terus mengugut Menteri Besar. Mereka dalam kumpulan penentang tahu, Menteri Besar tidak akan melayan kehendak mereka menyebabkan mereka berarak ke Kuala Lumpur untuk singgah di rumah Muhyiddin dan ke pejabat Perdana Menteri.

Hari ini, Din mengharapkan dia akan dikekalkan sebagai calon BN di DUN Bukit Besi. Begitu juga dengan Rosol, jika boleh mahu terus menjadi ADUN di Ajil tetapi apabila Ketua Umno Bahagian masing-masing, Dungun dan Hulu Terengganu melantik orang lain menjadi Penyelaras DUN Bukit Besi dan Ajil, mereka tidak boleh tidur dibuatnya.

Cerita perlantikan JKKK juga menjadi isu kononnya kuasa melantik itu mesti diberikan kepada ADUN tetapi ia bukanlah satu jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan Umno. Kuasa melantik sebenarnya masih tetap ada pada Menteri Besar dan tentunya Menteri Besar memberi kepercayaan kepada ketua bahagian yang menyokongnya untuk membuat perlantikan.

Ditulis oleh IDRIS SAMAD

Tiada ulasan: