KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Isu kuil: Xavier bidas kenyataan Khir Toyo

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyangkal kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Khir Toyo kononnya kerajaan negeri tidak mengikut proses sepatutnya dalam melaksanakan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Jelasnya, dalam isu tersebut, Kerajaan Selangor telah mewujudkan satu jawatankuasa yang mempunyai senarai cadangan yang telah diluluskan oleh pihak Exco.

Katanya, dalam jawatankuasa tersebut semua pihak terlibat termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Saya rasa ini bukanlah isu kuil atau rumah ibadat bukan Islam dibina di mana tetapi lebih kepada isu toleransi dan persefahaman antara kaum.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia mestilah membenarkan pembinaan rumah ibadat kepada semua kaum. Sungguhpun kaum itu golongan minoriti, mereka juga berhak diberikan tempat ibadat di tempat yang sesuai," katanya kepada Harakah.

Xavier turut mempersoalkan apakah sewaktu pemerintahan Barisan Nasional dahulu, kerajaan negeri waktu itu mendapatkan pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sesuatu perkara sebagaimana dinyatakan Khir.

Khir dalam kenyataannya juga menyebut dalam pembangunan rumah ibadat bukan Islam di kawasan umat Islam, kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pandangan penduduk berhampiran kawasan itu terlebih dahulu.

Adun Sungai Panjang itu juga menyatakan tapak cadangan asal Kuil Sri Mahariaman itu diputuskan hanya menerusi perbincangan antara kerajaan negeri dengan Jawatankuasa Kuil Seksyen 19, tidak termasuk penduduk Seksyen 23.

Dalam pada itu, Xavier menegaskan, keputusan yang dibuat kerajaan negeri itu satu keputusan yang munasabah bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan boleh memahami antara satu sama lain.

Tiada ulasan: