KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Banyakkan sedekah di hujung Ramadan - Ustaz Shah Kirit Kakulal Govindji

KUALA LUMPUR: Walaupun Ramadan menghampiri penghujungnya, umat Islam digalakkan untuk terus bersedekah bagi menambah pahala serta keberkatan di bulan penuh berkat ini.

Pendakwah bagi Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam (IIF), Ustaz Shah Kirit Kakulal Govindji menegaskan, pahala bersedekah di bulan Ramadan akan dilipat gandakan berbanding hari-hari biasa.

Jelasnya, apabila bersedekah di bulan Ramadan, ia akan memberi kesan yang lebih mendalam kepada individu yang bersedekah.

"Dalam surah Baqarah ayat 261, Allah berfirman yang bermaksud: Bagi mereka yang membelanjakan harta benda mereka di jalan Allah umpama sebutir benih yang tumbuh tujuh tangkai. Setiap tangkai tumbuh seratus butir benih dan Allah akan lipat gandakan lagi kepada sesiapa yang dikehendaki.

"Ini bermaksud satu biji benih akan berubah jadi tujuh ratus biji. Dengan lain perkataan 70,000 peratus keuntungan yang diperolehi. Jika di bulan-bulan biasa kita boleh mendapat pahala sebanyak itu, apatah lagi di bulan puasa ini," katanya.

Bersedekah juga tidak hanya dihadkan pada golongan yang berharta sebaliknya bagi golongan miskin juga boleh bersedekah. Pelbagai peluang dan cara boleh dilakukan untuk bersedekah.

Jelasnya, jika tidak mampu untuk bersedekah dengan wang ringgit, melemparkan senyuman dengan ikhlas juga dikira satu sedekah.

Ustaz Shah Kirit juga menasihatkan agar umat Islam tidak menjadikan Ramadan sebagai alasan untuk 'merencatkan' segala aktiviti serta program di bulan Ramadan.

"Ramadan bukan bulan untuk kita mengurangkan produktiviti. Seharusnya di bulan inilah kita berusaha untuk meningkatkan produktiviti. Sebagai seorang pekerja kita juga boleh bersedekah dengan menyumbang kerja pada waktu yang sebelum ini kita gunakan untuk makan tengahari," tegasnya.

Tiada ulasan: