KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 10, 2008

Wahai polis! Jangan peralatkan tentera untuk jamin kuasa Barisan Nasional

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) khususnya dan perkhidmatan awam umumnya tidak boleh dipolitikkan untuk menjamin kekuasaan parti politik yang memerintah. Ini bertentangan dengan prinsip Perlembagaan yang mahukan perkhidmatan awam tidak memihak (neutral).

Ketika menegaskan perkara ini, Pensyarah Undang-Undang UIAM, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, menyifatkan tindakan itu amat berbahaya kepada rakyat kerana jika perkhidmatan awam sudah terbabit dengan politik, maka kebajikan dan hak-hak mereka akan dinafikan.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan Profesor Dr Abdul Aziz Bari meminta Yang di-Pertuan Agong agar perlu berbuat sesuatu untuk mengelakkan tentera dari terlibat di dalam kontroversi politik yang melanda negara sekarang, ekoran kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mahu tentera bersama polis mengawal ketenteraman awam.

“Memang cadangan membabitkan tentera untuk membantu polis itu dibuat atas nama ketenteraman awam. Tetapi hanya orang yang tidak cerdik sahaja yang akan percaya kerana semua orang tahu bahawa kemelut dan kebimbangan sekarang hanya dirasai oleh parti yang memerintah yang bimbang mereka akan kecundang dengan silat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat,” tegasnya lagi.

Aziz berkata institusi-institusi negara seperti Yang di-Pertuan Agong, badan kehakiman dan perkhidmatan awam perlu sedar bahawa mereka mesti mempastikan bahawa proses demokrasi dan politik berjalan dengan lancar.

“Mereka mesti berkecuali dan membiarkan orang politik bertarung di dalam gelangggang,” ujar beliau.

Selama ini, tambah Aziz, mahkamah gagal melaksanakan semak dan imbang dan sistem kita penuh dengan pelbagai undang-undang dan dasar yang tidak selaras dengan Perlembagaan. Rule of law sudah menjadi rule by law; kedaulatan undang-undang sudah berubah menjadi pemerintahan berdasarkan undang-undang yang zalim atau tidak adil.

Oleh itu, pakar Perlembagaan dari UIAM ini menegaskan, penyelesaian yang drastik perlu dilakukan. Pentadbiran biasa katanya, sudah tidak dapat bergerak lagi kerana mereka yang diamanahkan dengan peranan kritikal seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara hatta mahkamah sudah terpalit dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang sukar hendak ditolak begitu sahaja.

“Di dalam senario itulah maka Yang di-Pertuan Agong yang pada keadaan biasa hanya menjalankan peranan yang formal dan simbolik perlu mengambil pendekatan yang berani dan drastik kerana baginda adalah satu-satunya benteng terakhir yang tinggal,” katanya.

Perlembagaan ujarnya, telah menyediakan pelbagai perlindungan dan jaminan untuk baginda mengambil langkah-langkah yang drastik itu. Ini termasuk gaji dan pelbagai kemudahan yang tidak boleh dipotong oleh kerajaan.

Berbalik kepada kedudukan dan peranan tentera di sisi Perlembagaan, Aziz menyifatkan selama ini pun ia sudah tidak dapat lari dari politik dan dipolitikkan.

Katanya, kenaikan pangkat, keputusan sama ada seorang jeneral perlu disambung khidmatnya, pembelian senjata dan seumpamanya adalah keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang memerintah. Jadi sekiranya tentera terlibat dalam pertembungan dengan rakyat maka ia akan menjadi kuda tunggangan politik sepenuhnya.

Aziz berkata, polis gagal melihat peranan sebenar mereka yang pada asasnya perlu berkecuali dari politik.

“Ramai sudah menyedari bahawa kerja pembasmian jenayah tidak lakukan dengan sempurna dan mereka terlalu terlibat dalam pemantauan politik baik dari segi perhimpunan awam mahupun cawangan khas. Ini semua menyebabkan berlakunya kelemahan dan sekarang polis mahu tentera membantu mereka pula,” tegas beliau.

Perlembagaan, kata Aziz, sudah menetapkan bahawa perkhidmatan awam berdiri di atas landasan yang berkecuali dan untuk membolehkan ini berlaku maka Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta Yang di-Pertua Negeri menjadi puncak kesetiaan mereka.

“Malangnya pemerintahan kerajaan yang terlalu lama menyebabkan perkhidmatan awam keliru dan menganggap parti politik yang ada itu sebagai negara yang berhak menuntut kesetiaan kepada mereka,” katanya.

Beliau menambah kemuncak kepada penyalahgunaan kedudukan perkhidmatan awam itu berlaku di dalam pentadbiran Mahathir yang memaksa kakitangan menandatangani akujanji.

“Sebenarnya akujanji itu bertentangan dengan konsep berkecuali perkhidmatan awam yang begitu jelas di dalam peruntukan-peruntukannya,” jelas Aziz.

Pakar Perlembagaan itu berkata Mahathir melakukan itu setelah menyedari kakitangan awam simpati kepada gerakan reformasi pada 1998-1999, pada ketika itu juga pihak kerajaan menyedari bahawa anggota-anggota tentera simpati kepada gerakan tersebut.

Aziz berkata kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat mesti menunjukkan pendekatan yang berbeza dan mengembalikan perkhidmatan awam kepada kedudukan asal sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Bagaimanapun, beliau mengingatkan, ia tidak mudah untuk dilakukan kerana perubahan tersebut memerlukan jiwa besar dan kemampuan membuang ego serta kepentingan diri.

Tiada ulasan: