KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Julai 12, 2008

PAS Batu bawa usul terima bukan Islam sebagai ahli PAS ke Muktamar di Ipoh

DALAM Muktamar PAS Kawasan Batu baru-baru ini, saya selaku Ketua Penerangan diberi mandat mengemukakan usul kawasan dan kemudiannya diterima dengan bahas. Usulnya agak kontroversi dan sehingga kini, tiada jawapan pasti dari PAS Pusat sama ada mahu atau tidak menjayakannya.

Ia bukan isu baru. Sudah acapkali dibangkitkan. Cuma, PAS Batu sama seperti beberapa kawasan lain, mempertegaskan semula usul ini untuk perhatian Muktamar PAS yang akan diadakan di Ipoh pada 13, 14, 15 dan 16 Ogos depan.

Reaksi nagetif isu ini sudah pelbagai.
"Saya orang yang pertama keluar PAS." Demikian kata Datuk Amir Yaakub, bekas calon PAS Dun Lendu, Melaka jika PAS bersetuju menerima orang bukan Islam sebagai ahli PAS sepenuhnya.

PAS Batu melihat sokongan padu pengundi bukan Islam khususnya orang Cina dan Tamil terhadap PAS semakin kukuh pada PRU ke 12 yang lalu tanpa rasa ragu dan takut. Kesediaan PAS meletakkan seorang calonnya berbangsa India, perempuan dan bukan beragama Islam dengan menggunakan tiket PKR dari Kelab Penyokong PAS India di Johor patut dilihat hikmahnya.

Menyedari terangkat dan pecahnya tembok yang membenteng dan membungkus PAS selama ini dari julangan rasa bimbang dan terancam bukan Islam khususnya kaum Cina dan India terhadap PAS pada PRU ke 12 yang lalu, maka PAS Batu merasakan sudah tiba masanya, PAS mengkaji secara nekad bagi menjalin dan mengikat hubungan lebih akrab dengan kekuatan yang dibawa, kefahaman yang dijelma dan sokongan kental kedua-dua masyarakat bukan Islam ini khususnya kaum Cina dan India terhadap perjuangan PAS yang selama ini yang hanya dijulang dan disokong oleh orang-orang Islam berbangsa Melayu semata-mata.

Sebelum usul itu dibawa, kami diperingkat Dewan Harian Kawasan sudah setuju bangkit dan perjuangkannya. Beberapa perbincangan dengan Jawatankuasa Urusan Ulama, cukup meyakinkan dari sudut Syariah bahawa PAS boleh melakukannya, jika mahu.

Maka berdiri atas perubahan ketara dan lonjakan luar biasa realiti politik ini, PAS Batu mendesak agar PAS Pusat dapat membuka pintu seluas mungkin dan menerima dengan hati yang terbuka mana-mana warganegara Malaysia yang bukan beragama Islam menjadi ahli PAS berdaftar dengan syarat ianya tidak bercanggah dengan syarak.

Setelah dibahas agak detail oleh perwakilan Dewan Pemuda, beberapa cawangan dan Dewan Muslimat, usul tersebut diterima, agar PAS Pusat membuka keahlian bukan Islam tanpa meletakkan mereka di kelas kedua; bagi memugar dan memantapkan usaha Fasal 5 Perlembagaan PAS dan seterusnya mengikat dan mentarbiyah mereka dengan kefahaman Islam yang tulen, sekaligus mengembangkan ajaran Islam dan mengIslamkan mereka pada lapangan yang lebih efisyen.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah tuan. Usul tuan itu mesti diperjuangkan agar menjadi kenyataan. Jangan biarkan bukan Islam yang sudah bersedia menyokong dan mengundi PAS dibiarkan ketidaktentuan hala. Tolong mereka. PAS boleh melakukannya. Jangan takut. Jangan bimbang. Selaku kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita. Jangan terlalu main politik walaupun hal ini isu politik.